Bersatu suram, tidak akan kekal dalam landskap politik negara – Ahli Parlimen Bukit Gantang


Prestasi Bersatu dalam PRU yang lalu bukan kerana parti itu kuat tetapi ia disebabkan kelemahan parti politik lain yang didominasi Melayu iaitu Barisan Nasional (BN), ketika itu.

(Harian Metro) – Masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) suram dan parti itu tidak akan kekal dalam landskap politik negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Beliau mendakwa, prestasi Bersatu dalam PRU yang lalu bukan kerana parti itu kuat tetapi ia disebabkan kelemahan parti politik lain yang didominasi Melayu iaitu Barisan Nasional (BN), ketika itu.

“Saya tidak fikir begitu (Bersatu akan bertahan sehingga PRU akan datang). Prestasi Bersatu pada PRU lalu bukan kerana parti itu kuat tetapi parti politik lain khususnya BN lemah ketika itu.

“Ini (keadaan lemah BN ketika itu) menyebabkan pengundi Melayu mencari alternatif lain (untuk memberikan sokongan mereka).

“Keadaan sebegini mencetuskan gelombang (politik) (kebangkitan PN), yang tidak dijangka bukan sahaja dalam kalangan pemerhati politik tetapi juga orang dalam PN.

“Ada calon dari PN yang memberitahu saya tidak menyangka akan menang apabila bertanding pada PRU-15,” katanya ketika ditemui di Puchong, hari ini.

Daripada terlalu banyak berpolitik, Syed Abu Hussin berkata, kini sudah tiba masanya untuk Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenuhi aspirasi penyokong blok pembangkang yang mengundi pakatan itu pada PRU-15.

“Bagaimana mahu membantu pengundi anda dalam kalangan generasi muda? Mereka mahukan peluang pekerjaan, mereka mahu jaminan untuk mereka boleh meletakkan makanan di atas meja, mereka mahu menjalani kehidupan yang baik.

“Jadi apa yang kamu lakukan untuk membantu mereka? Apa faedah yang rakyat dapat daripada anda apabila anda menuduh PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pluralisme dan tuduhan lain di Parlimen? Jawapannya tiada apa-apa,” katanya.

Syed Abu Hussin turut mengulangi dakwaannya bahawa lebih ramai pemimpin dari Bersatu mahu mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

“Sebenarnya, lebih ramai orang dalam Bersatu mahu mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri dan sentimen seperti itu kuat dalam Bersatu.

“Disebabkan itu, Bersatu tergesa-gesa meminda Perlembagaan parti bagi mengelakkan perkara ini berlaku. Bagaimanapun, ia masih berlaku di Selangor,” katanya

Syed Abu Hussin merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari untuk mengisytiharkan sokongannya kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Abdul Rashid, yang juga bekas Ketua Majlis Pimpinan Bersatu Selangor, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mempertimbangkan beberapa faktor.

Syed Abu Hussin adalah salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

Ahli Parlimen lain yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar termasuklah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Laban).



Comments
Loading...