Anak bekas PM Mongolia terima dana SRC – saksi


(Malaysiakini) – Anak lelaki bekas perdana menteri Mongolia Sükhbaataryn Batbold menerima AS$40,000 daripada AS$15 juta dana yang didakwa berasal daripada SRC International Sdn Bhd yang berdepan masalah kewangan, menurut keterangan saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pakar pemulihan aset Angela Barkhouse memberi keterangan demikian dalam kenyataan saksi bertulisnya bagi menyokong tuntutan mahkamah AS$1.18 bilion (RM5.5 bilion) SRC terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Warga Britain itu, yang kini memberi keterangan di mahkamah Malaysia melalui zoom dari Kepulauan Cayman, memberi keterangan dalam kenyataan saksinya bahawa Battushig Batbold menerima AS$40,0000.

Saksi plaintif memberi keterangan bahawa Battushig menerima wang daripada sejumlah AS$15 juta yang mengalir daripada akaun bank SRC BVI (British Virgin Islands) ke dalam Muraset Limited pada 27 Dis 2011.

Barkhouse berkata daripada jumlah ini, AS$14.9 juta kemudiannya dipindahkan kepada pelbagai individu dan entiti, termasuk AS$40,000 kepada Battushig.

Pelikuidasi beberapa entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan kes SRC berkata bahawa AS$2 juta pergi ke Dash Uranbileg, yang menurutnya dipercayai seorang tokoh politik di Mongolia.

Dia memberi keterangan bahawa AS$4.5 juta dan AS$1.4 juta diberikan kepada dua proksi Sükhbaataryn yang dilaporkan, iaitu Cheong Choo Young dan Kim Hak Seon.

Barkhouse juga berkata AS$4.54 juta dan AS$2.5 juta disalurkan kepada Infinite Properties Limited dan Bophut Investments Limited, kedua-duanya adalah firma BVI yang dimiliki oleh proksi Sükhbaataryn.

Perbicaraan tindakan sivil ini berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Dalam tindakan sivil itu, SRC mendakwa bekas menteri kewangan Najib telah melakukan penipuan pelanggaran tugas sebagai penasihat emeritus syarikat tersebut.

Dakwaan SRC dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan RM4 bilion pinjaman yang diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan antara 2011 dan 2012.

Melalui tuntutan mahkamah itu, SRC menuntut ganti rugi am dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah sivil.

SRC memohon pengisytiharan bahawa Naijib bertanggungjawab untuk mengambil kira kerugian firma MOF Inc akibat dakwaan pelanggaran tugasnya.

Plaintif juga memohon perintah supaya Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion serta membayar balik jumlah AS$120 juta yang didakwa diterima oleh bekas perdana menteri itu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan turut didenda RM50 juta, ini selepass ihsan pengampunan diraja yang mengurangkan hukuman awal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

SRC telah diperbadankan sebagai syarikat bertujuan khas pada 7 Jan 2011, untuk melabur dalam tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, sumber asli dan sektor mineral.

Peguam Kwan Will Sen mewakili plaintif SRC manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh bertindak bagi pihak Najib.

 



Comments
Loading...