Bersatu tuntut PRK semula, kosongkan kerusi 6 MP paling tadah


(Malaysiakini) – Bersatu berusaha mengosongkan enam kerusi parlimen yang dipegang anggota parti itu yang baru-baru ini mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya bercadang untuk menyerahkan notis mengenai perkara berkenaan kepada speaker Dewan Rakyat selepas parti itu meminda perlembagaannya berhubung keahlian.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN melancarkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Bersatu hari ini, yang diadakan khas untuk memperkenalkan pindaan bertujuan mencegah wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Muhyiddin menyelar enam ahli parlimen Bersatu itu, menggelarkan mereka sebagai pengkhianat parti.

Katanya, Bersatu mahukan pilihan raya kecil di enam kerusi itu iaitu parlimen Tanjung Karang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Gua Musang, Jeli dan Labuan.

“Hari ni nak pinda supaya terhenti keahlian mereka, iaitu terlucut serta merta dan kerusi mereka dikosongkan. Setuju? Setuju.

“Bila dikosongkan PRK diadakan semula. Jadi kita pulangkan semula mandat kepada rakyat di enam kawasan parlimen,” katanya kepada perwakilan.

Muhyiddin berkata dia berharap Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak akan “berdolak-dalik” apabila Bersatu menyerahkan notis pengosongan kerusi ahli parlimen parti itu itu.

Setakat ini, enam ahli parlimen Bersatu telah berikrar menyokong Anwar, menyatakan langkah itu dibuat demi kesejahteraan pengundi mereka.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Pada 26 Jan, Syed Abu Hussin mendakwa kira-kira 10 lagi ahli parlimen Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pada 29 Jan berkata pihaknya bersetuju untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu bagi memastikan wakil rakyatnya tidak berpaling tadah.

 



Comments
Loading...