Tak jelas hukuman Najib dikurang jejas keyakinan pelabur, kata ketua badan pemikir


Chandran Nair berkata kegagalan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan beri penjelasan burukkan lagi persepsi Malaysia di luar negara.

(FMT) – Satu badan pemikir di Asia berpandangan kurang ketelusan berhubung proses pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International mungkin menjejaskan keyakinan pelabur.

Chandran Nair, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Global Institute For Tomorrow (GIFT) berpangkalan di Hong Kong, berkata akibatnya pelabur asing terus membangkitkan persoalan berkait integriti institusi Malaysia.

“Implikasinya melebar dan meluas. Ini satu lagi perkara memberi kesan kepada keyakinan.

“Saya sedih melihat reputasi kita terjejas. Lebih-lebih lagi, ramai rakyat Malaysia bekerja keras memastikan negara terus bertahan di sebalik semua ini,” katanya kepada FMT.

Chandran, yang mana organisasi diterajuinya fokus kepada pembentukan semula norma masyarakat dan galakan pembangunan kepimpinan, berkata kegagalan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberi justifikasi hanya menguatkan lagi pandangan negatif terhadap Malaysia.

“Sentimen saya dengar di Hong Kong dan Singapura (seperti) berlaku kebimbangan besar kepada sistem nilai, terutama dari sudut institusi itu sendiri,” katanya.

Katanya, pelabur asing kelihatan terlalu curiga meletakkan wang di Malaysia.

“Saya kenal pelabur di Hong Kong dan Eropah, yang sering menyatakan, ‘Bagaimana anda boleh mempercayai kontrak anda tandatangani’, terutama dalam sistem kita (Malaysia) memerlukan rakan kongsi tempatan,” katanya.

Chandran mengambil maklum pendirian pimpinan kerajaan berkait Lembaga Pengampunan tidak mempunyai kewajipan berkongsi alasan pengampunan diberikan dan menggesa keputusan diputus dihormati.

“Namun, menjadi tanggungjawab mereka memaklumkan kepada kita apa yang berlaku. Ketika ini, tiada seorang pun yang mendengar alasan kukuh, jadi semua pihak keliru,” katanya.

Najib, disabit bersalah Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan dikenakan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang.

Beliau menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya. Beliau memfailkan petisyen pengampunan 10 hari kemudian.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan mengumumkan hukuman bekas perdana menteri itu dikurang kepada enam tahun penjara selain denda RM50 juta. Keputusan itu kemudian dikritik banyak pihak termasuk ahli politik dan NGO.

Dalam maklum balas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Zahid Hamidi menggesa rakyat meletakkan keyakinan kepada proses pengampunan dan menghormati keputusan lembaga.

Bagaimanapun, Chandran berkata terlalu banyak aspek daripada keputusan itu memerlukan jawapan.

“Sebenarnya, orang awam percaya kepada proses undang-undang. Mereka yakin kepada proses kehakiman. Ia (kes Najib) melalui tiga mahkamah tertinggi negara.

“Sekarang, apa yang berlaku kelihatan seperti merendahkannya. Jika ada alasan kukuh untuk semua ini, tolong maklumkan kepada kita,” katanya.

 



Comments
Loading...