Sokongan terhadap Zahid dalam Umno ‘makin suram’, dakwa penganalisis


(FMT) – Sokongan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dalam parti “semakin suram” susulan kegagalan mendapatkan pengampunan penuh Najib Razak, kata penganalisis.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, berkata ada beberapa pihak hanya menyokong Zahid selepas beliau berjanji berusaha melepaskan Najib dari penjara, pada perhimpunan agung parti itu tahun lalu.

Katanya, penyokong tegar Najib masih mengharapkannya kembali sambil menggambarkan “aura” bekas perdana menteri masih kuat dalam kalangan akar umbi.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan umum hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun berbanding 12 tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM201 juta kepada RM50 juta.

Sehari selepas itu, Umno berkata parti itu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan walaupun parti itu “terkesan dan bersedih”.

Hisomuddin berkata, kepimpinan Zahid sentiasa mencetuskan rasa tidak puas di peringkat akar umbi Umno, selepas memutuskan bekerjasama dengan musuh ketat, DAP dalam kerajaan perpaduan.

“(Ini) jelas apabila berlaku peralihan undi kepada PN (Perikatan Nasional) pada PRN lalu dan beliau kini dilihat gagal menunaikan janji (mendapatkan pengampunan penuh kepada Najib).

“Jika perkara ini tidak diatasi, lebih banyak undi pergi kepada PN,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan beberapa pimpinan bahagian menggesa parti menarik diri daripada kerajaan perpaduan dalam pertemuan tertutup.

Menurut Malaysiakini, 46 ketua bahagian tidak hadir untuk mendengar dalam sesi penjelasan Zahid pada 4 Feb, dengan seorang daripada mereka menyatakan “tidak berminat mendengar penjelasan (Zahid)”.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan gesaan supaya parti keluar daripada kerajaan perpaduan. Katanya, hanya 20 ketua bahagian tidak hadir kerana notis singkat.

Dalam pada itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata “penyelesaian segera” bagi Umno yang berdepan kehilangan sokongan sejak PRU15 adalah dengan Zahid meletak jawatan sebagai presiden.

“Parti memerlukan reform yang serius, bermula peletakan jawatan Zahid sebagai presiden,” katanya kepada FMT.

Azmil berkata, Umno sepatutnya segera meninggalkan kerajaan perpaduan agar mempunyai masa cukup mendapatkan menarik semula ahlinya yang beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN) sebelum PRU akan datang.

“Ini kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan bersama musuh ketat DAP tidak disukai ahli tanpa mengira kedudukan,” katanya.

 



Comments
Loading...