Daim saman Azam Baki


(Berita Harian) – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki mengesahkan beliau menerima saman difailkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Perkara itu dimaklumkan Azam ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog ‘Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?’ yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, surat tuntutan saman oleh Daim itu antara lain menyatakan mengenai tindakan SPRM yang didakwa tidak berlandaskan prosedur.

“Saya tak boleh dedahkan maklumat (mengenai tindakan saman itu) kerana kes itu sudah masuk mahkamah,” katanya.

Sebelum ini pasukan undang-undang mewakili Daim mendakwa Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dihadapi bekas Menteri Kewangan itu dan isu perundangan yang sedang dihadapi.

Mereka berkata, kenyataan berulang Azam mengenai Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis, kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Azam termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah

Katanya, kenyataan itu seolah-olah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan ‘sumber’ memburukkan lagi keadaan.

Dalam kes Daim didakwa gagal mematuhi notis isytihar harta sebelum ini, bekas menteri kewangan itu diwakili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Azam menegaskan SPRM bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama, jika ada pihak tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kadang-kadang kami (SPRM) tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Kami generasi baharu mungkin tak tahu.

“Betul… saya mungkin hidup pada waktu itu, tetapi saya tak berada dalam sistem ketika itu. (Jadi sekarang) tindakan perlu diambil kerana ia tanggungjawab saya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azam memaklumkan pihaknya sedia untuk memperkemas proses pengisytiharan aset dan sebaik mekanisme baharu borang pengisytiharan aset diluluskan, ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipaparkan di laman web.

 



Comments
Loading...