Peguam bimbang AG akan gugurkan pertuduhan lain Najib


Peguam Haniff Khatri Abdulla melahirkan kebimbangan sekiranya Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menggugurkan pertuduhan lain terhadap Najib Razak Najib memandangkan hukumannya dalam kes SRC International telah dikurangkan.

(Mkini) – Katanya, dalam keadaan sekarang, tiada yang mustahil apabila menyentuh tentang bekas perdana menteri itu.

“Berdasarkan apa yang telah berlaku dengan (permohonan) pengampunan, ia menimbulkan kepercayaan bahawa apa-apa sahaja mungkin berlaku kepada Najib,” katanya kepada Malaysiakini.

“Adakah AG akan memainkan peranan? Itu untuk dia jawab.

“Dia ialah ahli Lembaga Pengampunan. Apa yang dia buat? Adakah pandangannya patut dibenarkan atau tidak?

“Atau adakah dia berkecuali? Kami tidak tahu. Dia tidak mengeluarkan kenyataan,” jelasnya.

Dalam mewajarkan kebimbangannya, Haniff memetik kes Yayasan Akalbudi yang mana Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan pada September tahun lepas.

Ini walaupun pihak pendakwaan menetapkan kes prima facie dengan beberapa saksi memberi keterangan terhadap Zahid dan pembelaan hampir selesai, kata Haniff.

“Namun mereka menggugurkan pertuduhan pada peringkat akhir itu.

“Jadi pada saya, ia tidak menghairankan sebagai seorang peguam, sebagai rakyat Malaysia, saya tidak akan terkejut jika dia (AG) diminta menggugurkan pertuduhan itu,” katanya.

Peguam dan pengasas bersama Muda Lim Wei Jiet juga menyebut DNAA untuk kes Zahid sebagai punca kebimbangan apabila melibatkan Najib.

Selanjutnya, dia memberitahu Malaysiakini bahawa orang ramai masih tidak jelas berhubung pendirian kerajaan dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan keseluruhan proses pengampunan secara umum.

“Jika, sebagai contoh, ia memainkan peranan dalam menjamin pengurangan penjara dan hukuman denda kerana keperluan politik, anda tidak boleh menyalahkan orang ramai kerana mengesyaki perkara yang sama akan berlaku terhadap kes lain juga,” katanya.

Lim berkata jika peguam negara menggugurkan pertuduhan lain Najib, ia akan mengkhianati sistem keadilan negara dan menunjukkan wujudnya amalan dua darjat.

“Ia akan menghantar mesej bahawa tidak mengapa untuk buat jenayah, tidak kira betapa besar, selagi anda mempunyai kabel politik yang diperlukan,” katanya.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan keputusannya untuk mengurangkan separuh tempoh penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pengurangan hukuman Najib itu merupakan keputusan kolektif Lembaga Pengampunan.

Najib dikurung di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Haniff berkata jika pertuduhan Najib dalam kes 1MDB digugurkan, ia hanya permulaan kerana ia boleh memberi laluan kepada parol dalam kes SRC International.

Najib kini menghadapi perbicaraan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Haniff menjelaskan halangan yang ada dalam cara permohonan parol Najib dalam hukuman yang sedang dijalaninya ialah kes 1MDB, kerana banduan tidak boleh dipertimbangkan untuk parol sehingga selepas keputusan muktamad dalam mana-mana kes mahkamah lain yang belum selesai.

Ini, katanya berdasarkan Seksyen 46E(4) Akta Penjara 1995.

Jelas Haniff lagi, jika Lembaga Parol bersetuju banduan boleh dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah mereka.

Itu sesuatu yang sudah pun dituntut oleh beberapa pemimpin Umno, seperti bekas ketua parti Isham Jalil, katanya.

“Jadi dengan Umno di belakang Najib dan Umno menjadi parti dalam kerajaan campuran, saya fikir akan ada banyak tekanan dalam kerajaan sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Najib akan dihalang daripada memegang jawatan kepimpinan dalam Umno dan bertanding dalam pilihan raya kerana disabitkan kesalahannya, tambahnya.

 



Comments
Loading...