Bekas PM akan dipanggil berhubung siasatan perjanjian Spanco


SPRM sedang menyiasat perjanjian kerajaan yang ditandatangani bersama syarikat pengurusan fleet itu pada 1990an.

(FMT) – Seorang bekas perdana menteri antara individu yang akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perjanjian kerajaan yang ditandatangani dengan Spanco Sdn Bhd pada 1990an.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, “semua individu yang terlibat” dalam membuat keputusan memberikan kontrak mengendalikan perolehan dan pengurusan fleet kenderaan kerajaan itu akan dipanggil.

Ini termasuk perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, katanya.

Bulan lepas, Azam berkata, agensi antirasuah itu akan memanggil beberapa individu, termasuk seorang bekas menteri kewangan, seorang ahli perniagaan, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kontrak bernilai RM4.5 bilion untuk memperoleh dan mengurus armada kenderaan kerajaan.

Azam, yang mengesahkan SPRM telah menyerbu kediaman ahli perniagaan itu dan empat syarikat, dilaporkan berkata terdapat “senarai panjang” individu yang akan dipanggil.

Beliau berkata, SPRM mahu menyiasat mengapa syarikat itu diberi tugas menguruskan kenderaan kerajaan. SPRM juga sedang meneliti bagaimana Spanco mendapat kontrak itu walaupun syarikat lain yang menerima surat niat daripada Kementerian Kewangan, katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian kerajaan dengan Spanco “merugikan” negara.

Katanya, tindakan dan sikapnya “keras” terhadap Spanco sejak beliau menjadi menteri kewangan pada 1990an, tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu kerana tiada iltizam politik untuk bertindak.

 



Comments
Loading...