Jangan jaga tepi kain parti lain, Fahmi Fadzil tegur Hassan Karim


(Malaysiakini) – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim diberi “teguran keras” dagar tidak menjaga tepi kain parti lain.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata, Hassan perlu menghormati rakan daripada parti lain yang berada dalam kerajaan perpaduan.

Fahmi mengakui kesal dengan desakan Hassan supaya Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dan parti terbabit perlu diterajui pemimpin baru.

“Jangan jaga tepi kain parti orang lain. Kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.

“Tapi jangan komen orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hassan selepas menyertai Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh, dekat Kuantan, Pahang hari ini.

Hassan pada Rabu lalu dilaporkan berkata Umno perlu diterajui muka baru dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang dikatakan ‘rapuh’ berdepan PRU16.

Menurut Hassan, rombakan pemimpin baru yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk kembali mendapatkan undi Melayu.

Fahmi dalam pada itu berkata, ramai pihak yang boleh mengambil kesempatan di atas kenyataan berkenaan.

Tambahnya, segala teguran boleh dibuat tetapi perlu melalui kepimpinan parti dan menyerahkan kepada pimpinan untuk menguruskan perkara itu.

“(Dalam) perkara ini, kita hormat parti sahabat dan sekiranya ada sebarang teguran, beliau (Hassan) boleh sampaikan kepada pemimpin (untuk) diuruskan dengan baik.

“Jadi, saya (bagi) teguran keras (kepada) beliau dalam bab ini,” katanya.

 



Comments
Loading...