Hukuman penjara Najib dipendekkan kepada 6 tahun


(FMT) – Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju untuk memendekkan hukuman penjara 12 tahun Najib Razak kepada enam tahun.

Urusetia lembaga itu berkata denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu juga dikurangkan kepada separuh.

“Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu 23 Ogos 2028 dan denda perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara Najib akan ditambah setahun di mana tarikh pembebasan beliau pada 23 Ogos 2029,” katanya dalam kenyataan.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Peguamnya, Shafee Abdullah, sebelum ini berkata petisyen untuk pengampunan Najib pertama kali dikemukakan pada September 2022, dan adendum (penambahan) kepada permohonan itu difailkan pada Oktober tahun sama, serta April 2023.

 



Comments
Loading...