SPRM beku akaun Tan Sri berkait kontrak bekal kenderaan kerajaan


Pembekuan susulan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan kontrak diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

(FMT) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Pembekuan itu susulan siasatan dijalankan terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan kontrak diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

Sumber berkata, sebelum ini SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat seorang ahli perniagaan berusia 70-an itu serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

Katanya, keterangan beberapa saksi penting terdiri agensi kerajaan terlibat dan individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan fleet kenderaan kerajaan turut diambil.

“Daripada jumlah tersebut, SPRM membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.



Comments
Loading...