Lantik Azmin untuk kekang pengkhianatan, kata penganalisis


Salawati Mat Basir berkata Azmin dipilih kerana beliau lebih memahami corak permainan politik di Selangor mahupun seluruh negara.

(FMT) – Pelantikan bekas menteri besar Azmin Ali sebagai ketua Bersatu Selangor antaranya dikatakan langkah untuk mengekang pengkhianatan khususnya di negeri itu, selepas enam wakil rakyat parti itu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Azmin dipilih kerana beliau lebih memahami corak permainan politik di negeri itu, mahupun seluruh negara.

“Perlu pertukaran kerana mereka ingin memastikan tiada lagi ahli sama ada Ahli Parlimen ataupun Adun yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Selain pindaan perlembagaan dilakukan, salah satu cara untuk menyelamatkan keadaan ini ialah melantik Azmin,” katanya.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin mengumumkan majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju meminda perlembagaan parti bagi menghalang pengkhianatan, di sebalik dakwaan lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Anwar.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Bersatu turut membuat perubahan kepimpinan di Selangor dan Negeri Sembilan yang disifatkan sebagai usaha membugarkan parti. Selain Azmin menggantikan Rashid Asari, Mohamad Hanifah Abu Bakar mengambil tempat Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden.

Salawati berkata kemenangan Azmin pada PRU lalu membuktikan kewibawaan dan penerimaan masyarakat terhadap beliau berbanding pemimpin Bersatu lain.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula melihat Azmin lebih berkemampuan berbanding Rashid, dari segi pengaruh, pengalaman, jaringan, dan sumber.

Beliau juga percaya langkah mengangkat Azmin itu akan mengukuhkan kedudukan Presiden Muhyiddin Yassin.

“Azmin boleh dilihat sebagai ‘orang kanan’ kepada Muhyiddin. Sudah tentu bagi mengukuhkan kedudukan Muhyiddin sendiri dan mengukuhkan Azmin dengan meletakkan dia dalam jawatan itu,” katanya.

Kelmarin, Azmin, yang juga ahli MPT, berkata ‘konspirasi’ untuk memecah-belahkan Bersatu gagal selepas semua kepimpinan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

 



Comments
Loading...