‘Tebuk atap’ gagal, Anwar yakin lebih ramai Ahli Parlimen sokong kerajaan


Perdana menteri berkata wakil rakyat pembangkang hilang keyakinan terhadap parti mereka apabila janji menukar kerajaan tidak berlaku.

(FMT) – Perdana Menteri Anwar Ibrahim percaya lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong kerajaan perpaduan kerana hilang keyakinan terhadap parti mereka apabila perubahan kerajaan dijanjikan tidak berlaku.

Anwar berkata, mereka hanya dijanjikan dengan janji-janji palsu dengan pelbagai langkah “tebuk atap” yang nyata tidak menjadi kenyataan dan memainkan persepsi negatif termasuk isu perkauman.

“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.

“Dan apabila terhakis harapan, orang-orang, Ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka,” katanya dalam ucapan perasmian penutup di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang juga pengerusi BN Perak, Ketua Pakatan Harapan Perak Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata kestabilan kerajaan perpaduan termasuk gabungan dari Sabah dan Sarawak adalah kukuh dan pihak yang sentiasa cuba menggugatnya perlu menerima kenyataan gabungan itu akan kekal sehingga ke akhir penggal.

“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik memelihara perpaduan dan kepimpinan perlu menumpukan untuk memacu pertumbuhan dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).

“Saya yakin juga Tuanku Sultan Johor yang akan menjadi Agong akan mempertahan pendirian yang sama,” kata presiden PKR itu.

Anwar dalam masa sama, berkata kerajaan perpaduan perlu menumpu usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana mereka masih mempunyai empat tahun untuk membuktikan kejayaan mereka.

Katanya, kerajaan perpaduan akan terus mempertahankan prinsip sedia ada termasuk menjaga hak majoriti Melayu dan Bumiputera.

 



Comments
Loading...