Tun Daim didakwa Isnin ini


(Malaysia Post) – BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin ini.

Menurut kenyataan ringkas oleh Daim melalui peguamnya, beliau akan didakwa atas pertuduhan sama yang dikenakan terhadap isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid.

Menurut Daim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan kenyataan beliau semalam.

“Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin 29 Januari ini mengikut Sesyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan tidak isytihar aset.

“Baiklah, saya tidak sabar akan hari-hari saya di Mahkamah,” katanya.

Minggu lepas, Nai’mah mengaku tidak bersalah atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dan mohon dibicarakan.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam, mendedahkan pihaknya akan mendakwa Daim selewat-lewatnya minggu hadapan atas dakwaan gagal mengisytiharkan hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.

Sebelum ini, Daim dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Sebelum ini, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai yang dikatakan milik keluarga Daim.



Comments
Loading...