Rakyat semakin susah, Muhyiddin bidas Anwar sibuk tindas musuh politik


Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar Ibrahim tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat yang semakin meruncing.

(FMT) – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat lebih sibuk memastikan musuh politiknya ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan ekonomi.

Bekas perdana menteri itu berkata kehidupan rakyat dilihat semakin sukar selepas 14 bulan Anwar mengetuai Putrajaya, memberikan contoh kegagalan menoktahkan kemiskinan selain kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pengenalan cukai barangan bernilai tinggi dan rendah dijual dalam talian.

Dakwanya, rakyat juga terkesan susulan kenaikan tarif elektrik, penarikan balik subsidi pukal, dan kekurangan bekalan beras tempatan yang didapati masih berlaku.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata jumlah dagangan di bawah pimpinan Anwar juga menjunam pada Disember lalu apabila merekodkan kemerosotan sejak Mac, selain menurun kepada RM225.1 bilion berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya.

“Setakat ini saya tidak nampak perdana menteri mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ini.

“Beliau nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin tidak menamakan musuh politik yang didakwa ditindas Anwar, namun kebelakangan ini pihak berkuasa menyiasat beberapa bekas pemimpin negara antaranya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Daim disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Hari ini, isterinya, Naimah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli perniagaan Mirzan Mahathir iaitu anak sulung kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula disiasat SPRM berkait maklumat dalam laporan Kertas Panama dan diarah mengisytiharkan aset miliknya.

 



Comments
Loading...