Dr M terdesak untuk kekal relevan, kata penganalisis


James Chin dan Azmi Hassan berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan mengabaikan cabaran Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

(FMT) – Seorang penganalisis politik menyifatkan tindakan Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen sebagai cubaan terdesak untuk kekal relevan.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, ia satu lagi cubaan bekas perdana menteri itu untuk kekal relevan, walaupun bukan wakil rakyat.

Katanya, ramai pemimpin Perikatan Nasional mula menjauhkan diri daripada Mahathir, khasnya selepas kenyataannya baru-baru ini mengenai orang bukan Melayu “tidak setia kepada Malaysia sepenuhnya”.

“Perkara terbaik untuk Anwar dan Malaysia ialah mengabaikan Mahathir. Apabila beliau menggesa pilihan raya mengejut diadakan, kebanyakan orang akan geleng kepala dan sedar beliau bercakap seperti ahli politik terdesak,” katanya kepada FMT.

Mahathir ialah penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS yang digelar SG4.

Semalam, beliau mencabar Anwar mengadakan pilihan raya untuk menguji sokongannya dalam kalangan rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau memenangi lima PRU dengan majoriti dua pertiga ketika julung kali memegang jawatan tertinggi itu, membuktikan sokongan rakyat terhadapnya pada masa itu.

Katanya, pemimpin politik menjadi perdana menteri dan menubuhkan kerajaan selepas memenangi pilihan raya, “tetapi beliau (Anwar) kalah”.

Anwar dilantik perdana menteri ke-10 Malaysia pada 24 Nov 2022, selepas mendapat sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan parti lain.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga senada Anwar akan mengabaikan cabaran “tidak berasas” Mahathir, yang dikaitkannya dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap anaknya, Mirzan.

“Mahathir sendiri tahu Anwar tidak akan terpengaruh dengan tekanan ini.”

 



Comments
Loading...