Kontrak urus kenderaan RM4.5 bilion, SPRM akan panggil bekas menteri kewangan


Ketua SPRM Azam Baki berkata bekas perdana menteri juga akan dipanggil untuk menentukan sama ada perkara itu dalam pengetahuannya.

(FMT) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memanggil beberapa orang, termasuk seorang bekas menteri kewangan, ahli perniagaan dan pegawai penting kerajaan, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 billion

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang mengesahkan menyerbu kediaman ahli perniagaan itu dan empat syarikat pada Khamis, berkata individu dalam “senarai panjang” akan dipanggil untuk menjelaskan dua isu, lapor The Star.

“Kami ingin mengetahui mengapa syarikat ini diberi tugas untuk menguruskan kenderaan kerajaan,” katanya yang dipetik akhbar itu.

“Kedua, kami juga mahu penjelasan mengapa hasrat untuk memberikan projek (sama) ini kepada syarikat lain dibatalkan walaupun telah menerima surat hasrat (LOI) daripada Kementerian Kewangan.”

Azam juga berkata agensi antirasuah itu akan memanggil bekas menteri kewangan terbabit untuk “memberi penjelasan mengenai dua persoalan”, serta bekas perdana menteri “untuk menentukan sama ada beliau sedar perkara itu berlaku semasa pentadbirannya”.

Tambahnya, pegawai SPRM kini sedang meneliti dokumen yang dirampas semasa serbuan dan mereka yang terlibat akan dipanggil untuk disoal siasat berdasarkan penemuan itu.

Pada Sabtu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa SPRM telah menyerbu rumah seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” dan empat syarikatnya.

Menurut sumber yang tidak dinamakan yang dipetik oleh akhbar berbahasa Melayu, ahli perniagaan itu berkhidmat sebagai pemegang saham utama syarikat yang bertanggungjawab membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Lebih 100 akaun peribadi dan syarikat di bawah kawalannya dilaporkan telah dirampas, walaupun ia tidak dibekukan ketika itu.

 



Comments
Loading...