Kertas Pandora: Jangan seteru k’jaan saja disiasat SPRM, kata Hassan


(Malaysiakini) – Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Hassan Karim memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyiasat pendedahan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

Bagaimanapun, Hassan yang juga ahli parlimen PKR berharap siasatan yang dijalankan telus dan tidak berpihak.

“Jangan mereka yang dianggap penentang atau seteru kepada Kerajaan Perpaduan yang berkuasa sekarang sahaja yang disiasat tetapi penyokong dan anggota Kerajaan Perpaduan tidak disiasat.

“SPRM mesti bersikap telus, profesional dan berintegriti dalam menjalankan tugasnya dengan berasaskan kepada prinsip tanpa takut dan pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kertas Pandora dan Kertas Panama ialah dokumen berasingan yang didedahkan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dengan kerjasama media lain di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Ia memperincikan pemilikan dana antarabangsa yang disimpan di syarikat luar pesisir.

Mereka yang disiasat ketika ini ialah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya, serta Mirzan Mahathir iaitu anak Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dan Daim sebelum ini mendakwa siasatan itu sebagai tindakan penganiayaan politik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim – terhadap seteru politiknya.

Mahathir juga mendakwa Mirzan diugut penjara selama lima tahun.

Sementara itu Hassan berkata golongan elit yang dahulunya dilihat semacam kebal dan tidak boleh disentuh oleh SPRM kini telah dipanggil ke ibupejabat suruhanjaya itu untuk disiasat.

Namun ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata dia memandang serius mengenai aduan Dr Mahathir bahawa anaknya yang kini disiasat suruhanjaya itu diugut dengan hukuman penjara selama 5 tahun.

“Saya berharap SPRM perlu jalankan tugas dengan profesional mengikut undang-undang ketika menjalankan tugas menyiasat. Tidak boleh gunakan ugutan semasa menjalankan siasatan,” katanya.

Selain Daim dan Mirzan, turut dinamakan dalam pendedahan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Timbalan Menteri Ekonomi Hanifa Hajar Taib dan abangnya Mahmud Abu Bekir serta bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Walaupun memiliki syarikat luar pesisir tidak menyalahi undnag-undang, terdapat tekanan awam untuk peningkatan ketelusan dalam syarikat-syarikat yang ditubuhkan di tempat perlindungan cukai bagi menangani pengelakan cukai dan pengubahan wang haram.

Zafrul dinamakan sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Limited, sebuah bank butik yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, tetapi melepaskan jawatan itu apabila menyertai Maybank pada 2010.

Daim dan Leong pula sebelum ini menyatakan bahawa dana luar pesisir mereka adalah berdasarkan pendapatan yang sah dan semua cukai telah dibayar.

Jawatankuasa Khas Rasuah yang dianggotai Hassan turut dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 



Comments
Loading...