Rasuah Agong RM750 juta: Zahid kata tak ada maklumat, tahu melalui media


(Malaysia Post) – DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai maklumat berhubung rasuah RM500 juta ke RM750 juta yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak mempunyai apa-apa maklumat tambahan mengenai perkara itu.

Angka itu dikatakan jumlah suapan yang ingin diberikan pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menumbangkan kerajaan.

“Saya tidak ada maklumat tambahan, saya hanya membaca kenyataan perdana menteri melalui media,” katanya dalam sidang media selepas pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 9 Januari lalu, perdana menteri berkata jika ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipercayai merujuk dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada pihak cuba menggunakan politik wang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet di Istana Negara.

Menerusi pertemuan itu, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan beliau agar meneruskan tugas sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun pemimpin pembangkang mempersoalkan kenyataan Anwar dan menuntut penjelasan daripadanya.

 



Comments
Loading...