Rasuah Agong RM1 bilion: Kenyataan dari Muhyiddin


Tuduhan bahawa Perikatan Nasional merasuah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan termasuk yang berjawatan di dalam Kerajaan.

Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Laporan polis telah dibuat oleh YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas.

Saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor ini.

Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri.

Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kerajaan.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah Kerajaan dibentuk samada melalui pilihanraya atau di luar pilihanraya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan. Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN



Comments
Loading...