Peguam Bersatu: IGP tidak harus campur tangan dalam politik


Seorang peguam Bersatu tampil membidas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berhubung rancangan untuk menukar kerajaan.

(Mkini) – Timbalan Ketua Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, Razarudin tidak sepatutnya mencampuri politik.

Razarudin semalam mempersoalkan mengapa spekulasi itu dicetuskan daripada mereka yang tidak mempunyai locus standi dan bukannya pemimpin parti.

Selanjutnya, dia berkata jika dakwaan itu benar, pemimpin parti akan menghadap Yang di-Pertuan Agong atau menggesa supaya undi percaya untuk membuktikan jumlah sokongan mereka.

“Ini sangat mengganggu yang datang daripada ketua polis negara,” kata Sasha dalam satu kenyataan hari ini.

“Mengapa ketua polis negara mencampuri dan atau membiarkan dirinya terpalit dalam isu politik?

“Bukan urusan polis sama ada ahli Parlimen memilih untuk menarik balik sokongan kepada Anwar sebagai PM,” tambahnya.

Pemimpin Bersatu itu berkata bahawa Malaysia bukan negara polis, dan proses demokrasi ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dia seterusnya mempersoalkan sama ada kenyataan Razarudin itu adalah taktik intimidasi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terhadap pembangkang.

Sasha juga berkata tindakan menarik balik sokongan kepada perdana menteri adalah hak perlembagaan ahli parlimen.

Polis semalam berkata mereka bertanggungjawab untuk menyiasat demi menjaga kestabilan negara.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berhubung aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.



Comments
Loading...