PAS desak penjelasan PM isu ‘RM750 juta’


PAS mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan sumber berhubung dana RM500 juta dan RM750 seperti dinyatakan dalam kenyataan medianya semalam.

(Mkini) – Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berharap ia tidak seperti tuduhan Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi yang gagal dibuktikan perdana menteri sehingga kini.

“Kenapa ditulis nilai RM500 juta dan RM750 juta? Ertinya ada maklumat khusus. Jika ada maklumat khusus, mohon PMX dedahkan sahaja.

“Janganlah jadi macam isu dana judi yang dilumurkan kepada PN, selepas setahun masih belum dibuktikan,” katanya yang meragui kenyataan media dikeluarkan Anwar terkait dengan titah Yang di-Pertuan Agong semalam.

Dalam satu kenyataannya semalam, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmah Shah bertitah supaya Kerajaan Madani terus menguruskan negara.

Menjelaskan sesi menghadap yang berlangsung di Istana Negara, perdana menteri berkata dia menyembah maklum akan urusan kertas-kertas kabinet yang akan dibincangkan.

Katanya Agong kemudian turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

“Baginda bertitah supaya saya selaku perdana menteri dan kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara,” kata Anwar dalam kenyataan itu.

Anwar turut menyebut mengenai derma yang ingin disampaikan mana-mana pihak sekiranya ada RM500 juta atau RM750 juta harus disalurkan terus kepada asnaf.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apa yang dimaksudkan oleh Anwar dengan kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, ia mungkin merujuk kepada dakwaan pihak tertentu bahawa sejumlah besar wang dibelanjakan untuk menarik ahli parlimen kerajaan berpaling tadah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang membangkitkan beberapa keganjilan dalam kenyataan Anwar menegaskan tindakan perdana menteri itu menimbulkan keraguan.

“Hakikatnya tindakan PMX menimbulkan keraguan. Terkejar-kejar mendahului pihak Istana Negara, apa yang ingin dikejar sangat tu?

“Tindakan ini seperti tidak menghormati kedudukan utama Yang di-Pertuan Agong dan pihak Istana Negara dalam mengeluarkan sesebuah kenyataan rasmi.

“Dalam pertemuan rasmi dan penting melibatkan pihak istana, keterujaan berkongsi tidak perlu sampai menjadi lebih sudu dari kuah,” katanya lagi.



Comments
Loading...