Dakwaan rasuah Agong: Pegawai Hamzah lapor polis


Setiausaha sulit ketua kembangkang membuat laporan polis atas dakwaan sebuah blog bahawa Hamzah Zainuddin cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong bagi menukar kerajaan.

(Mkini) – Ahmad Ikhwan Fadhli membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur pagi tadi.

Dalam laporan polisnya, Ikhwan menyifatkan tulisan itu sebagai menghasut supaya rakyat hilang kepercayaan kepada baginda serta bersifat fitnah dan direka-reka.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Ikhwan berkata tiada sebarang tindakan daripada kerajaan berkaitan dakwaan itu.

“Apa respons daripada pihak kerajaan atau penyokong pihak kerajaan? Adakah satu laporan polis dibuat untuk menyiasat? Tiada

“Di manakah menteri komunikasi? Di manakah menteri digital? Di manakah menteri undang-undang? Tiada,” katanya.

Dia mengingatkan bahawa kerajaan perlu sesuatu memandangkan mereka selama ini sering bercakap tentang isu 3R (raja, kaum dan agama).

“Adakah ini sengaja?” soalnya.

Malaysiakini tidak menyiarkan butiran terperinci dakwaan itu kerana tidak dapat mengesahkannya.

Semalam, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan anggota parlimen untuk menjatuhkan kerajaan.

Dia juga berkata demikian susulan dakwaan sebuah blog bahawa seorang pemimpin PN menyediakan dana RM1 bilion untuk memberi rasuah.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada dakwaan itu sama seperti dalam laporan polis Ikhwan.

Sebelum ini, muncul spekulasi “Langkah Dubai”, merujuk kepada perbincangan yang didakwa berlaku di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu untuk menjatuhkan kerajaan.



Comments
Loading...