‘Biar Dewan Rakyat putuskan jika Anwar sudah hilang majoriti’


(Malaysiakini) – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata bahawa sokongan terhadap seseorang perdana menteri harus diputuskan melalui undi percaya di Dewanj Rakyat dan bukannya berdasarkan akuan berkanun (SD).

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tulisan seorang penulis blog yang melarikan diri dan kini dalam buangan, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 SD untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Kesimpulannya semua pihak perlu merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sama ada Anwar sudah hilang sokongan majoriti sebagai perdana menteri hendaklah diputuskan di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkara 43(4) menyatakan bahawa perdana menteri hendaklah mengemukakan peletakan jawatan sekiranya dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

SD untuk membuktikan sokongan majoriti pertama kali digunakan pada Februari 2020 oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri.

Muhyiddin kemudiannya menggunakan pendekatan yang sama pada Nov 2022 berikutan pilihan raya umum ke-15 ketika bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Seri Paduka sebaliknya menggesa supaya kerajaan campuran ditubuhkan, dengan diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun ini ditolak oleh Bersatu dan PAS. Anwar yang menerajui Pakatan Harapan kemudiannya bergabung dengan BN dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk mentadbir negara.

Anwar sendiri kemudiannya membentangkan undi percaya di Parlimen pada 19 Dis 2022 melalui undian suara dan telah menang.

Kini selepas setahun kemudian, perbincangan mengenai gerakan untuk menggulingkan kerajaan timbul dengan Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Noor dilaporkan berkata, semalam bahawa PN sudah mempunyai SD yang mencukupi. Pembangkang hanya menunggu masa, katanya.

Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.

 



Comments
Loading...