Isham Jalil akan lawan permohonan dipenjara, denda kerana hina mahkamah


(Utusan) – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil akan melawan tindakan Peguam Negara yang membuat permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) agar beliau dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Katanya, beliau tidak mengetahui berhubung permohonan tersebut sehingga menyedarinya daripada laporan yang dikeluarkan akhbar ini semalam.

Menurutnya, beliau akan meneliti permohonan ex-parte yang dikemukakan Peguam Negara itu.

Beliau mendakwa, kerajaan sedang goyah dan goyang yang mana mungkin dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa, mereka akan menangkap dan memenjarakan lebih ramai orang demi kepentingan politik.

“Kali ini giliran saya. Saya akan lawan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau dengan menyertakan keratan laporan Utusan Malaysia berhubung permohonan Peguam Negara itu.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Peguam Negara telah mengemukakan permohonan secara ex-parte agar bekas Ketua Penerangan UMNO itu dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Permohonan yang difailkan pada 28 Disember lalu adalah susulan kenyataan Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil pada satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?“.

Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Menurut sumber, permohonan itu telah disebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kelmarin namun difahamkan Peguam Negara selaku pemohon telah memohon agar hakim berkenaan menarik diri daripada terus mendengar prosiding menghina mahkamah tersebut.

 



Comments
Loading...