Kami tahu ada pertemuan ‘Langkah Dubai’, kata Zahid


Bagaimanapun timbalan perdana menteri enggan mendedahkan individu terlibat.

(FMT) – Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata beliau tahu mengenai “Langkah Dubai” sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu.

“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (Dubai),” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama individu dimaksudkan.

Minggu lalu, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim itu turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Sambil menggambarkan usaha menumbangkan kerajaan “membuang masa”, Zahid berkata pentadbiran ketika ini menikmati majoriti dua pertiga, selain menambah keutamaan sepatutnya tertumpu kepada usaha mengukuhkan ekonomi.

“Tunggulah sehingga PRU16 kalau mereka mahu tukar kerajaan,” kata pengerusi Barisan Nasional itu.

Pada Sabtu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusof, berkata Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) “tidak mempunyai masa melayan drama politik”.

Fadillah yang juga timbalan perdana menteri, berkata beliau tidak pernah mendengar cubaan terbaharu untuk menumbangkan kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, mengulas situasi banjir, Zahid berkata pejabat daerah di kawasan terjejas akan menyalurkan bantuan tunai kepada mangsa.

“Tapi, saya menyeru mereka yang menyalurkan bantuan agar ‘buta warna’ dan menyalurkannya secara saksama,” katanya.

Lebih 20,000 mangsa dipindahkan susulan banjir bulan lalu, dengan majoriti mangsa dari Pantai Timur. Situasi semasa semakin pulih dengan kurang 100 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara.

 



Comments
Loading...