Menteri: Cadangan Ngeh letak wakil bukan Islam tidak berasas


(Malaysiakini) – Saranan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham untuk melantik wakil bukan Islam dalam jawatankuasa khas undang-undang Syariah adalah “tidak berasas”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im (gambar judul) berkata Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam itu dianggotai para pakar Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah.

“(Mereka) berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Khas ini, jelas Mohd Na’im ditubuhkan bertujuan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Dia berkata hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

“Oleh yang demikian cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali,” kata Mohd Na’im.

Menteri agama juga menyeru semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh “mengundang kegelisahan awam.”

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada jawatankuasa khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya lagi.

Jawatankuasa 11 anggota itu yang diketuai bekas ketua hakim negara Zaki Azmi (gambar, atas) itu kali pertama bermesyuarat pada 5 Disember lalu.

Anggota lain ialah bekas hakim mahkamah persekutuan Mohd Zawawi Salleh, ahli majlis Islam Selangor Salehuddin Saidin, Ketua Hakim Syarie Melaka Nadzri Abdul Rahman, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang Jabatan Peguam Negara (AGC) Anas Ahmad Zakie, timbalan ketua bahagian sivil Shamsul Bolhassan dan ketua unit penyelidikan perlembagaan Azirul Liza Abdullah.

Turut menganggotai dekan perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Farid Sufian Shuaib dan Wan Ahmad Fauzi Hashim, presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang dan peguam syariah Zulqarnain Lukman.

Ngeh, seorang peguam kanan dan penggubal undang-undang meminta Putrajaya mempertimbangkan penyertaan wakil bukan Islam dan Majlis Peguam kerana jawatankuasa itu akan cuba menyelaraskan undang-undang syariah dengan Perlembagaan Persekutuan.

 



Comments
Loading...