Palestin: PAS sertai persidangan politik tertinggi di Tehran


(Harakah) – Persidangan Perundingan Politik Peringkat Tertinggi berkenaan isu Palestin yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Iran berlangsung di Tehran, Iran, hari ini.

PAS selaku parti politik yang menjuarai isu Palestin di dalam negara telah menerima jemputan dan menghantar dua orang wakil menghadirinya iaitu Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurut Muhammad Khalil, persidangan yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Iran bertujuan mengumpulkan tokoh-tokoh ternama, ahli poltik, ilmuan, think tank, pertubuhan dan gerakan-gerakan Islam bagi membincangkan kaedah dan strategi terbaik serta mewujudkan platform bagi menyokong dan membantu mengukuhkan perjuangan pembebasan bumi Palestin serta cabaran yang dihadapinya ketika ini.

Katanya, berikutan cabaran semasa yang dihadapi Palestin dan rakyatnya ketika ini yang berhadapan dengan serangan dan pengeboman ganas tentera pengganas rejim zionis Israel, kepungan dan sekatan ke atas Semenanjung Gaza berserta sikap double standard Barat yang membela dan membantu rejim pengganas zionis Israel, persidangan itu adalah tepat pada masanya khususnya dalam merangka strategi yang berkesan dalam usaha membela nasib Palestin dan rakyatnya yang amat terkesan ketika ini.

Tambahnya, turut hadir sama dalam persidangan itu adalah cucu kepada negarawan ulung Afrika Selatan, Nelson Mandela iaitu Nkosi Zwelivelile Mandela.

Menariknya, kata Khalil, Nkosi Zwelivelile telah memeluk Islam sejak 2019 dan lebih kurang dua minggu yang lalu telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kelima Solidariti Untuk Palestin di Johannesburg, Afrika Selatan yang turut dihadiri oleh wakil PAS iaitu Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Termizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kuala Kerai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

 



Comments
Loading...