Kumpulan 16 NGO mahu pilihan raya PBT, Dewan Negara


(Malaysiakini) – Sekumpulan 16 NGO menggesa kerajaan supaya menegakkan demokrasi dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senator Dewan Negara dan anggota jawatan kuasa kepimpinan masyarakat setempat.

Kata mereka, amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih dan melantik perwakilan perlu dihentikan.

“Pada masa ini, di Malaysia, kita hanya memilih ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) secara demokrasi lima tahun sekali.

“Rakyat Malaysia tidak memilih secara demokratik wakil-wakil struktur pentadbiran lain seperti ahli majlis PBT dan Dewan Negara. Mereka juga tidak memilih pemimpin masyarakat tempatan mereka secara demokratik,” kata kumpulan itu.

Senarai 16 kumpulan itu termasuk Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Malaysian Against Death Penalty and Torture (Madpet), Pusat Keprihatinan Orang Asli (Coac) Malaysia, Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM), Gagasan Insan Progresif (GIP), North South Initiative (NSI), Sarawak Dayak Iban Associstion(Sdia), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement Malaysia.

Kenyataan itu turut ditandatangani oleh peguam dan aktivis Charles Hector serta pemimpin masyarakat sivil Rohana Ariffin.

Selain itu, sejumlah NGO antarabangsa juga menyokong kenyataan itu sebagai tanda solidariti.

Semalam, pemimpin DAP Tan Kok Wai membuat gesaan agar pilihan raya PBT diadakan di Kuala Lumpur. Namun ini segera ditolak oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam dan Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pilihan raya PBT dimansuhkan pada 1960an, selepas pembangkang Barisan Sosialis dan Parti Progresif Rakyat ketika itu meraih kemenangan di bandar-bandar besar termasuk di Georgetown, Melaka, Seremban dan Ipoh.

“Wakil-wakil yang dilantik negeri atau persekutuan ini bukanlah wakil rakyat yang dipilih secara bebas, oleh itu ia adalah penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia.

“(Ini) menjejaskan atau menafikan keupayaan rakyat untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam tadbir urus komuniti tempatan masing-masing, PBT, Dewan Negara dan juga Malaysia.

“Kerajaan negeri dan persekutuan secara amnya cenderung untuk melantik ahli parti atau penyokong sebagai wakil dalam struktur tadbir urus yang lain ini – tetapi jika ada pilihan raya, orang yang dilantik ini mungkin tidak pernah dipilih oleh rakyat,” kata kenyataan itu.

Wakil rakyat tanpa undi

Mereka turut mendakwa pelantikan tanpa pengundiaan itu menjejaskan hak penyertaan rakyat dalam kerajaan, apabila pandangan dan kedudukan rakyat dengan mudah diabaikan oleh wakil-wakil yang dilantik.

“Di Malaysia, walaupun dalam komuniti terkecil seperti kampung dan taman, kepimpinan dilantik terus oleh kerajaan tanpa proses demokrasi,” kata kenyataan itu lagi.

Kumpulan itu turut mencadangkan Dewan Negara dimansuhkan sekiranya hak rakyat untuk memilih secara langsung senator mewakili mereka tidak diwujudkan.

 



Comments
Loading...