Kerajaan Perpaduan tidak tergugat isu video tular Mohammad Agus J-Kom


(Utusan) – Isu peletakan jawatan dan penularan rakaman video perbualan lucah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak memberi sebarang kesan kepada perjalanan Kerajaan Perpaduan hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan, dalam politik sudah tentu ada pihak yang mahu melihat kestabilan kerajaan tergugat namun tentu ada yang mahu terus bekerja memastikan pembangunan negara dapat berjalan baik.

“Terdapat dua kategori pemain-pemain politik dalam negara ini, satu pemain politik untuk meneruskan pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan satu lagi mahu melihat kestabilan kerajaan hari ini diganggu gugat dan menjadi tidak stabil.

“Isu berkenaan tidak memberi kesan langsung kepada kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Industri Asas Tani dan MyGAP Jabatan Pertanian Negeri Sembilan di sini hari ini.

Sejak semalam, tersebar di media sosial satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Dr. Mohammad Agus.

Mohammad Agus juga semalam mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut dan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranan menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Sementara itu, mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, sesiapa yang dilantik mengemudi jawatan penting boleh samada mahu meneruskan atau menamatkan khidmat apabila sampai waktunya.

“Dahulu saya memegang jawatan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sampai ketika waktunya apabila saya diberi jawatan Exco Kanan Kerajaan negeri, pada saya tidak wajar untuk teruskan jawatan tersebut.

“Wajar diserahkan kepada individu yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas mereka,” katanya yang memberitahu telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi LLM sebulan yang lalu.

 



Comments
Loading...