Banyak duit dari Amerika akan masuk Malaysia, kata Anwar


“Dalam pertemuan ini, semua syarikat memberi perakuan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.”

(Utusan) – Pelaburan secara besar-besaran dijangka akan masuk ke Malaysia selepas syarikat-syarikat besar dunia terus yakin dan memberi kepercayaan mereka untuk melabur di dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft dan TikTok di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Kata beliau, kestabilan politik dan dasar yang jelas adalah antara perkara yang dititikberatkan oleh syarikat-syarikat tersebut untuk melabur dalam negara.

“Dalam pertemuan ini, semua syarikat memberi perakuan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.

“Semua syarikat ini turut mengakui sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat mereka untuk melabur di Malaysia.

“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia untuk memberikan proses kelulusan pantas kepada semua pelabur dan ia jelas menambah keyakinan kepada syarikat-syarikat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Manakala Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan yang juga merangkap Ketua Pegawai Kewangannya, Ruth Porat; Enovix Corporation diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Ajay Marathe; Microsoft Asia oleh Presidennya, Ahmed Mazhari dan TikTok pula oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Jim Coulter yang merupakan rakan Pengasas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG iaitu sebuah syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

“Semoga pertemuan dengan kesemua syarikat gergasi ini dapat membawa manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya, Insya-Allah,” katanya.

 



Comments
Loading...