Hadi Awang kekal ahli Parlimen Marang


(Malaysiakini) – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir bekas calon BN, Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di kawasan Parlimen Marang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan pilihan raya yang difailkan Jasmira selaku perayu.

“Perayu gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap rayuan. Rayuan ditolak tanpa sebarang kos,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang bersama ialah Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang.

Jasmira diwakili oleh peguam Mohd Hafarizam Harun manakala Abdul Hadi selaku responden diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang difailkan Jasmira bagi membatalkan kemenangan Hadi sebagai ahli Parlimen Marang.

Hakim Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai hakim pilihan raya memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, antara lain mendakwa PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Dia mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022, iaitu beberapa hari menjelang PRU15.

Pada PRU15 lalu, Hadi memenangi kerusi parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Zarawi Sulong.

 



Comments
Loading...