MN bantu Umno bangkit selepas tersungkur PRU 2018


(Harakah) – Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada 2019 sedikit sebanyak membantu Umno bangkit semula selepas parti itu jatuh tersungkur pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, PAS datang menghulur tangan waktu ayam tak patuk, itik tidak sudu, ketika Umno kalah di Putrajaya.

“PAS datang menghulur tangan untuk memberikan nafas, nyawa kepada Umno, tetapi apabila Umno terasa kuat dia mahu meludah dan mempersenda, memperkecilkan PAS.

“Maka saya nampak di sini, perjuangan PAS lebih tulen, konsisten, istiqamah, wajar untuk didukung dan disokong oleh orang Melayu di negara kita,” katanya pada pelancaran Jentera Pilihanraya PRK Kemaman di Padang Astaka, Chukai, di sini, malam tadi

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno berkata, selepas dibuang dari Umno, beliau mengambil pendirian tanpa sebarang tekanan memilih PAS untuk meneruskan perjuangan politik.

“Saya orang perjuangan dipecat dari Umno, tetapi tidak boleh memecat diri saya daripada memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air, apa lagi memperjuangkan kesatuan penyatuan orang Melayu.

“Saya yakin dan berpegang kuat bahawa selagi orang Melayu tidak berpecah belah, maka orang Melayu dan umat Islam tidak boleh diperkotak-katikkan dalam politik negara kita.

“Oleh kerana Umno lari daripada tanggungjawab untuk menyatu-padukan orang Melayu, pimpinan Zahid Hamidi tidak mahu memikul usaha meneruskan perjuangan bersama parti-parti orang Melayu, maka tidak ada pilihan lain melainkan memilih PAS.

“Sebagai ahli biasa saya reda, rela, bangga, bersyukur diberi ruang untuk terus berjuang bersama PAS, saya mengabdikan diri kepada perjuangan PAS mulai tarikh diterima sebagai ahli,” katanya.

 



Comments
Loading...