Mahkamah benarkan permohonan pinda tiga pertuduhan Najib


(Malaysiakini) – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan kes 1MDB yang membabitkan Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengurangkan jumlah salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa daripada RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Pindaan itu juga bertujuan mengurangkan jumlah dalam dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram – RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 bagi satu pertuduhan pengubahan wang haram, dan RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34 bagi satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram yang lain.

“Hanya jumlah sahaja yang dimohon untuk dipinda. Oleh itu naratif pendakwaan kekal tidak berubah dan tidak akan ada prejudis terhadap tertuduh.

“Ini bukan niat jahat atau mala fide (di pihak pendakwaan),” kata Sequerah, sementara Najib memanadang dari kandang tertuduh.

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengarahkan ketiga-tiga tuduhan yang dipinda dibacakan terhadap Najib.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

 



Comments
Loading...