Permohonan maaf kepada peguam Rosli Dahlan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY)


PADA 10.10.2023, Sinar Harian telah menerbitkan satu rencana politik yang ditulis oleh Raiham Md Sanusi bertajuk “PN perlukan panglima perang baru” di mana Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali (Prof Mazlan) telah memfitnah Peguam Rosli Dahlan dan TSMY (“Rencana Fitnah”).

Pada 14.10.2023, Sinar Harian telah menerbitkan pengakuan kesilapan oleh Prof Mazlan dan juga Kenyataan Peguam Rosli Dahlan tentang kepalsuan Rencana Fitnah tersebut.

Kami dengan ini memohon maaf kerana Rencana Fitnah tersebut telah secara salah, tidak adil dan serius mencemarkan watak, integriti, kredit dan reputasi Peguam Rosli Dahlan yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap beliau.

Kami mengakui bahawa Rencana Fitnah tersebut juga telah menjerumuskan Peguam Rosli Dahlan ke dalam skandal awam, penghinaan dan keburukan yang mendedahkannya kepada kebencian dan cemuhan serta merendahkan beliau di kalangan orang ramai. Kami mengakui bahawa Rencana Fitnah tersebut juga telah diterbitkan semula dan dikongsi, menyebabkan ia menjadi tular di pelbagai platform lain.

Kami insaf dan kesal atas kelakuan salah kami dan kerosakan yang diakibatkan kepada Peguam Rosli Dahlan. Maka kami dengan ini mengakui seperti berikut:

Kenyataan Prof Mazlan berkenaan Peguam Rosli Dahlan dan juga TSMY adalah palsu dan fitnah;

TSMY tidak menghadapi masalah integriti. Semua pertuduhan predikat terhadap beliau telah dibatalkan dan beliau telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 15.8.2023 kerana beliau telah dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan oleh undang-undang (charged for an offence unknown in law);

Peguam Rosli Dahlan tidak pernah ditangkap oleh SPRM atas sebarang kesalahan rasuah;

Tiada wang RM7bilion atau sebarang wang 1MDB yang hilang;

Semua wang pemulihan aset 1MDB telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan dan tidak satu sen pun dibayar kepada firma Peguam Rosli Dahlan iaitu RDS;

Oleh itu, adalah mustahil sebarang kecurian wang 1MDB boleh dilakukan oleh Peguam Rosli Dahlan atau firmanya;

Prof Mazlan mengakui bahawa kenyataannya itu telah dibuat secara melulu tanpa usul periksa;

Prof Mazlan mengakui telah melakukan kesalahan memfitnah terhadap Peguam Rosli Dahlan dan kesal kerana telah menggunakan kedudukannya sebagai Prof Madya di UTM untuk membuat kenyataan palsu dan fitnah sehingga dipercayai oleh orang awam;

Kami sedar dan insaf bahawa fitnah adalah kejahatan besar yang dikutuk Islam (Surah Al-Baqarah: 191/217);

Kami akui Rencana Fitnah tersebut telah merosakkan nama baik Peguam Rosli Dahlan sebagai seorang peguam Muslim yang aktif dalam kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah; dan

Kami akui bahawa Peguam Rosli Dahlan adalah seorang profesional yang berintegriti tinggi dan amat dihormati. Beliau adalah seorang yang budiman, jujur dan berakhlak mulia.

Maka, kami memohon maaf yang tidak terhingga di atas segala kesusahan dan kerosakan yang telah kami lakukan kepada Peguam Rosli Dahlan dan TSMY. Kami selanjutnya menyatakan bahawa kami amat kesal kerana telah mencemarkan nama baik Peguam Rosli Dahlan dan merosakkan reputasinya sebagai seorang peguam yang profesional dan beretika tinggi yang berusaha untuk mengekalkan tahap ketelusan, integriti dan nilai murni yang tinggi.

Kami juga amat kesal atas penghinaan yang telah kami lakukan kepada Peguam Rosli Dahlan dan TSMY, keluarga mereka dan firma guaman RDS dan dengan ini kami dengan sepenuh hati mencela Rencana Fitnah tersebut secara keseluruhannya.

Kami telah pun memadamkan Rencana Fitnah tersebut dengan serta merta dan kami berharap Peguam Rosli Dahlan dan TSMY memaafkan kami.

Kami yang memohon maaf,

Prof Madya Dr Mazlan Ali, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia

Raiham Mohd Sanusi, Wartawan Sinar Harian

Sinar Karangkraf Sdn Bhd

 



Comments
Loading...