MP PKR mahu bawa usul sekat TikTok di M’sia


(Malaysiakini) – Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran bercadang mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk menyekat platform media sosial TikTok.

Ketika dihubungi, pemimpin PKR itu mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini.

“Aplikasi seperti TikTok kini telah mengundang kegusaran banyak negara termasuk Malaysia dalam soal keselamatan siber.

“Kerajaan Belanda, India, Taiwan dan Norway merupakan antara kerajaan yang telah melaksanakan sekatan mutlak terhadap penggunaan aplikasi tersebut menerusi peranti milikan kerajaan sebagai langkah untuk melindungi ruang siber mereka daripada dicerobohi.

“Dengan itu saya akan membawa satu usul dalam masa terdekat menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat melaksanakan sekatan penuh berfasa terhadap TikTok,” katanya.

Sebelum ini, Menteri KKD Fahmi Fadzil berkata pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti dipertingkatkan segera.

Dia secara peribadi menekankan perkara itu semasa pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok, yang diketuai oleh naib presiden Tiktok Global Helena Lersch pada 11 Okt lalu.

Fahmi berkata, TikTok juga perlu lebih proaktif dalam membendung penularan berita palsu dan kandungan fitnah di platform tersebut termasuk penyebaran Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).

Sementara itu, Yuneswaran turut mendakwa bahawa aplikasi TikTok yang dibangunkan oleh syarikat China Bytedance turut menggugat ekosistem perniagaan rakyat tempatan.

“Trend kenaikan trafik pengguna di negara ini telah menjadi antara faktor yang menarik perhatian golongan peniaga dari negara republik tersebut untuk mempromosikan produk.

“Mereka niagakan secara bebas tanpa sebarang pemantauan serius dari pihak TikTok Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Persoalan besar yang saya ingin bangkitkan di sini ialah adalah pada hakikatnya pihak TikTok Shop membayar cukai nilai tambah (VAT) kepada kerajaan memandangkan ramai dari kalangan pempengaruh mengaut keuntungan besar daripada jualan mereka menerusi platform tersebut.

“Maka, sekatan penuh berfasa yang saya nyatakan tersebut bertujuan untuk melindungi kelangsungan golongan peniaga tempatan yang pada hari ini berdepan dengan persaingan ekonomi, serta melindungi ruang siber negara,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Indonesia sebelum ini mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok.

Laporan CNN Indonesia berkata Malaysia akan mengikuti langkah negara jiran itu melarang perdagangan sosial seperti TikTok Shop.

Fahmi sebelum ini ketika mengulas keputusan Indonesia berkata dia akan berhubung dengan kerajaan Indonesia bagi mendapatkan maklumat secara terperinci mengenainya dan juga daripada pengurusan TikTok.

“Saya ambil maklum ada ramai yang setuju, ramai kurang setuju, tapi kita ingin faham dahulu keadaan secara keseluruhan.

“Konteks di Malaysia berbeza daripada Indonesia tapi saya lihat ada keperluan untuk melihat secara keseluruhan,” kata Fahmi.

Pada 7 Okt lepas, Fahmi berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di Malaysia.

 



Comments
Loading...