Prof Mazlan Ali mohon maaf kepada peguam Rosli Dahlan


(Sinar Harian) – Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali membuat permohonan maaf kepada peguam, Rosli Dahlan kerana mengaitkan individu tersebut dalam sebuah artikel baru-baru ini.

Menurut Mazlan, beliau dengan rela hati juga menarik balik kenyataan yang disiarkan Sinar Harian pada Selasa yang mengaitkan Rosli yang dirujuk sebagai peguam kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel bertajuk ‘PN perlukan panglima perang baru’.

“Berhubung dengan perkara itu, saya mengakui telah berlaku kekhilafan…justeru saya mengakui kenyataan ‘penangkapan peguam beliau (Muhyiddin)’ itu adalah salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mazlan sebelum ini dilapor berkata, PN memerlukan panglima baharu susulan Muhyiddin kini berdepan banyak isu berkait dengan integriti.

Menerusi laporan itu, Mazlan berkata, isu terbaharu ialah libatkan penangkapan peguam beliau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan wang 1MDB sebanyak AS$1.5 bilion bersamaan RM7 bilion dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar kepada kerajaan.

Mazlan berkata, kenyataan yang terkhilaf itu dibuat disebabkan berdepan situasi di luar kawalan.

Sementara itu, Rosli dalam satu kenyataan meminta Mazlan dan Sinar Harian segera bertaubat dan memohon maaf kepada beliau selain memadamkan artikel tersebut dengan serta-merta.

Tegasnya, kenyataan itu bukan sahaja palsu, malah salah disisi undang-undang kerana jelas ia bersifat fitnah.

“Saya tidak pernah ditangkap oleh SPRM. Tiada wang RM7 bilion atau sebarang wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang. Semua wang pemulihan aset 1MDB dibayar langsung kepada Kementerian Kewangan dan tidak satu sen pun dibayar kepada RDS (syarikat guamannya).

“Oleh itu adalah mustahil hal itu boleh berlaku. Prof Mazlan boleh mengesahkan sendiri dengan Kementerian Kewangan kerana jelas kenyataannya itu dibuat secara melulu tanpa usul periksa,” katanya.

Tambahnya, disebabkan kenyataan bersifat fitnah itu juga ia telah menjejaskan reputasi beliau selaku peguam Muslim yang aktif dalam kerja-kerja amal.

“Kenyataan fitnah itu merosakkan nama baik saya sebagai seorang peguam Muslim yang aktif dalam kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah. Ia memusnahkan reputasi saya sebagai seorang yang berprinsip dan berintegriti,” katanya.



Comments
Loading...