Perbicaraan rayuan pembebasan Muhyiddin pada 28 Feb 2024


(Malaysiakini) – Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 28 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan dan melepaskan Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron yang menetapkan 28 dan 29 Feb untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan Muhyiddin untuk memfailkan penghujahan masing-masing sebelum 26 Feb 2024.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati pertuduhan ke atas bekas pedana menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009. Justeru, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan pada hari yang sama.

Pengurusan kes hari ini diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebagai berkata Mahkamah Sesyen telah menetapkan 29 Nov untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.

Ini bagi mendapatkan perintah penangguhan sementara prosiding bagi tiga lagi pertuduhan dihadapi bekas perdana menteri itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) sementara selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

Muhyiddin, 76, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, dan juga daripada Azman Yusoff, untuk parti itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin juga menghadapi dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di Kuala Lumpur, antara 25 Feb dan 16 Julai 2021, dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan menerima dana RM5 juta, daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang merupakan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di cawangan Ambank Amcorp Mall di Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, Selangor pada 7 Jan tahun lepas. Dana itu didakwa dikreditkan ke dalam akaun parti di Ambank.

Dalam permohonan untuk perintah penangguhan, pihak pendakwaan berkata terdapat alasan yang kukuh untuk mewajarkan prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Pihak pendakwaan berkata jika prosiding di Mahkamah Sesyen dibenar diteruskan, rayuannya (pendakwaan) akan menjadi tidak jelas jika terdapat sebarang permohonan interlokutori difailkan untuk mengetepikan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan empat pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan juga berhujah bahawa Muhyiddin tidak akan diprejudis sekiranya Mahkamah Sesyen mengekalkan status quo sehingga rayuan pihak pendakwaan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

 



Comments
Loading...