Syor ahli Parlimen PKR gabung semula KL, Selangor kukuhkan kuasa politik ‘Cina DAP’, kata bekas menteri


(Malaysia Now)  – Seorang bekas menteri berkata sebarang langkah untuk menggabungkan Kuala Lumpur dengan Selangor akan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat sekurang-kurangnya 24 lagi tambahan kerusi majoriti bukan Melayu, keputusan yang katanya akan menguntungkan DAP.

Mohd Zin Mohamed yang merupakan menteri kerja raya sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, berkata sekiranya 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur sekarang dipecahkan kepada DUN, Selangor akan menambah antara 22 dan 33 kerusi, meningkat daripada 56 kerusi sekarang.

Beliau berkata lebih 24 kerusi baharu ini akan mempunyai majoriti bukan Melayu.

“Penambahan kerusi baru ini akan membawa kepada jumlah 89 kerusi DUN di Selangor, dengan antara 39 ke 43 kerusi majoriti pengundi bukan Melayu ataupun 48.3% daripada jumlah kerusi DUN di Selangor.

“Langkah sebegini akan meningkatkan lagi kuasa DAP yang berpendirian sekular dan ratanya diwakili orang cina ke atas pentadbiran negeri Selangor, sekali gus memencilkan peranan orang Melayu dalam pengurusan negeri yang terkaya di negara ini,” tulis Zin dalam catatan di Twitter.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mencadangkan supaya Kuala Lumpur, yang pernah menjadi ibu negeri Selangor sebelum diserahkan kepada kerajaan Persekutuan pada 1974, dikembalikan kepada negeri itu, dengan berkata ini akan memudahkan perancangan bandar.

Zin, yang merupakan bekas pengerusi syarikat kereta api negara KTMB, berkata gesaan Lee jelas akan membawa “keuntungan politik dan pulangan dividen yang besar” untuk Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

Gesaan itu turut dikritik oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong, yang pernah berkhidmat di dua kerusi utama di Kuala Lumpur.

Wee, yang pernah mewakili kerusi Bukit Bintang di bawah DAP sebelum berpindah ke PKR mewakili Wangsa Maju, berkata Lee sepatutnya mengambil kira konteks sejarah yang membawa kepada pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.

“Ahli Parlimen muda ini memilih untuk mengabaikan perkembangan sejarah di sebalik kewujudan Wilayah Persekutuan di mana Kuala Lumpur dimasukkan ke dalam WP selepas kemelut 1969, yang mana Malaysia tidak lagi sama selepas itu,” katanya.

“Kita juga menyedari nada politik di sebalik seruan beliau yang dibuat pada masa ini apabila negara ini jelas berpecah!”

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...