‘Tak perlu gugur agenda Negara Sekular, Malaysian Malaysia’ – DAP


(Berita Harian) – DAP tidak perlu menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana persefahaman sudah dicapai antara parti dalam gabungan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk, semua parti membuat perjanjian dan bersetuju tidak akan menyentuh prinsip serta perlembagaan parti masing-masing.

Beliau berkata, pada masa sama, DAP juga tidak pernah meminta parti lain meminda perlembagaan kerana semua parti mempunyai prinsip perjuangan atau ideologi masing-masing.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah berpuas hati dengan penjelasan kita sebelum Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Peruntukan dalam perlembagaan DAP ialah beberapa perkara asas yang menjadi kebimbangan kepada orang Melayu sudah saya jelaskan.

“DAP mendokong prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas Ceramah PH di Wisma DAP, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, supaya DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota Bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Sementara itu, Loke berkata, perkara itu sepatutnya tidak perlu diungkit lagi atau mencipta polemik yang mana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.

“Bagi saya masing-masing ada pandangan dengan setiap parti ada prinsip perjuangan, ini tidak menjadi masalah apabila kita bekerjasama dalam satu gabungan politik terutama apabila membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi apa yang penting pada hari ini, kita membentuk Kerajaan Perpaduan, bekerjasama atas parameter dengan paling penting kita mengangkat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Loke berkata, daripada mencipta situasi seperti ini, adalah lebih baik parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menumpukan perhatian mendapat sokongan terutama pengundi Melayu.

“Tetapi saya nak nyatakan di kawasan saya (Parlimen Seremban) dengan pengundi adalah majoriti Melayu, tetapi saya menang, jadi tak timbul DAP tak boleh mendapat sokongan Melayu.

“Rakyat akan menilai bukan dari segi ideologi parti masing-masing tetapi gerak kerja kita, trek rekod berkhidmat di kawasan itu,” katanya.

 



Comments
Loading...