Rombakan Kabinet tak dapat menangi undi hilang, kata penganalisis


Lee Kuok Tiung berkata, rombakan Kabinet mungkin dianggap isyarat ada pihak sedang mencari kambing hitam atas prestasi lemah gabungan perpaduan dalam PRN.

(FMT) – Seorang penganalisis politik membantah cadangan merombak Kabinet kerana ia mungkin dianggap isyarat ada pihak sedang mencari kambing hitam atas prestasi lemah gabungan persekutuan dalam PRN minggu lalu.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, rombakan Kabinet ketika ini tidak akan membantu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memenangi sokongan pengundi Melayu yang hilang dalam PRN enam negeri.

“Bahkan ia mungkin mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan parti komponen kerajaan perpaduan apabila membabitkan siapa atau kementerian mana perlu digantikan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Anwar akan berdepan masalah baharu selepas itu.

PRN enam negeri minggu lalu menyaksikan Perikatan Nasional mencapai prestasi baik di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, sambil mengekalkan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Lee berkata, kerajaan perpaduan perlu fokus untuk mengekalkan semak dan imbang, khasnya dalam dasar bermasalah seperti cadangan menyediakan sekolah bagi pelajar miskin berbanding bantuan persekolahan untuk golongan memerlukan.

Cadangan merombak Kabinet dibangkitkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang berkata Anwar perlu melantik Ahli Parlimen berpengalaman seperti bekas menteri kewangan II Johari Ghani, bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Khairy Jamaluddin untuk mengembalikan keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu yang “kian hilang”.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata rombakan Kabinet akan menunjukkan kerajaan responsif terhadap isyarat pengundi dalam PRN.

“Ia boleh membantu meningkatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu, dengan syarat membuat pilihan betul,” katanya yang mencadangkan Mohamad Hasan menggantikan Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri “kerana Zahid tidak popular”.

Beliau berkata, Mohamad kekal sebagai pemimpin popular di peringkat akar umbi di Rantau, Negeri Sembilan.

Mengenai perkara yang perlu difokuskan kerajaan untuk meningkatkan sokongan orang Melayu, katanya, ia akan menjadi projek jangka panjang membabitkan turun padang dan “menyelami kehidupan orang Melayu” serta kesusahan mereka.

Fauzi berkata, kerajaan boleh belajar sesuatu daripada populariti individu seperti Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor tanpa mencontohi “perangai tidak sopannya”.

“Kurangkan ucapan penuh jargon dan fokus pada ekonomi mudah untuk mengembangkan pasaran pekerjaan serta mengurangkan tekanan inflasi. Buat masa ini, ketepi ketidakpopularan Umno, prinsip ekonomi Madani belum sebati dengan akar umbi Melayu.”

 



Comments
Loading...