PN menang di P Pinang kerana undi Umno, kata penganalisis


Ahli sains politik, Wong Chin Huat, berkata PKR dan Amanah kalah di kerusi majoriti Melayu kerana tiada undi boleh pindah antara BN dan PH.

(FMT) – Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan dalam PRN Pulau Pinang Sabtu lalu apabila memenangi 11 kerusi majoriti Melayu hasil sejumlah besar undi daripada penyokong Umno, kata seorang ahli sains politik.

PN menang di kawasan majoriti Melayu, iaitu Sungai Bakap, Penanti, Pinang Tunggal, Seberang Jaya, Permatang Berangan, Sungai Dua, Telok Bahang, Permatang Pasir, Pulau Betong, Telok Ayer Tawar dan Penaga.

Tujuh kerusi itu dirampas daripada PKR, empat daripada Umno dan satu Amanah.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, “gelombang hijau” di Pulau Pinang menyaksikan PN “menyerap” majoriti undi Umno, malah sehingga merugikan calon Umno yang hilang pengundi tegar.

Katanya, pemindahan undi Umno kepada PH tidak berlaku menyebabkan rakan gabungan, PKR serta Amanah, turut kalah kepada PN.

Undi tambahan diperoleh PKR dan Amanah jauh lebih rendah daripada yang diraih BN di kawasan Melayu dalam PRU15, katanya.

“Senario terbaik adalah di Bayan Lepas, di mana Amanah mendapat 3,360 lagi undi, iaitu hanya kira-kira 55% undi bagi BN pada PRU15,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berkata, PN meraih manfaat daripada kebimbangan orang Melayu berkait masalah sosio-ekonomi dihadapi masyarakat itu.

“Pendapatan isi rumah orang Melayu paling rendah di negeri itu. Tambahan pula kos sara hidup di Pulau Pinang tinggi dan memang menjadi cabaran untuk memiliki rumah, bukan saja bagi orang Melayu, malah bangsa lain.

“Semua isu ini dilihat dalam rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan negeri sedia ada,” katanya kepada FMT.

Sepanjang tempoh berkempen, PN memetik kos perumahan serta sara hidup tinggi di Pulau Pinang, dengan menyalahkan PH gagal menyelesaikan isu berkenaan walaupun telah berjanji demikian dalam manifesto PRU15.

Persepsi ‘tunduk’ kepada DAP

Mengulas kekalahan PH, Azeem berkata, ada persepsi Amanah “tunduk” kepada DAP, manakala status PKR sebagai parti berbilang bangsa menyukarkan usahanya mendapat sokongan Melayu di kawasan luar bandar Pulau Pinang.

Wong berkata, PN berkempen atas dasar parti Melayu dalam PH-BN tidak dapat mempertahankan Islam atau memperjuangkan kebajikan orang Islam disebabkan “tunduk” kepada DAP.

“Ini hanya akan berubah apabila politik Pulau Pinang lebih maju, melibatkan persaingan idea berkaitan dasar tanpa politik perkauman,” katanya sambil menambah PH-BN Pulau Pinang perlu mengambil langkah mengalihkan politik negeri itu daripada polemik berdasarkan perkauman.

Beliau menggesa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengajak PN mewujudkan exco bayangan dalam kalangan 11 Adun dan menyediakan sumber diperlukan bagi menjalankan penyelidikan.

 



Comments
Loading...