Gelombang hijau berterusan, UMNO bukan lagi tempat bergantung orang Melayu


Gelombang orang Melayu Islam menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN) diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas mencatatkan kemenangan luar biasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

(Utusan Malaysia) – Malah, sokongan turut bertambah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan apabila gabungan berkenaan berjaya menambah kerusi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jika dahulu, orang Melayu menjadikan UMNO sebagai tempat bergantung namun keputusan PRU15 dan terbaharu PRN telah membuktikan sebaliknya apabila parti berkenaan hanya menang 19 daripada 108 kerusi iaitu merangkumi sekitar 17.5 peratus sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, gelombang hijau atau PN masih berterusan dalam PRN kali ini, sekali gus menampakkan perubahan ‘total’ sokongan orang Melayu Islam kepada gabungan berkenaan.

Katanya, melihat kepada prestasi semasa, tidak mustahil UMNO akan menjadi seperti MCA apabila sedikit demi sedikit kehilangan sokongan yang akhirnya terus karam.

Justeru katanya, ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dalam kerajaan Perpaduan ketika ini sudah boleh membuat penilaian memandangkan kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) itu sukar diterima khususnya oleh orang Melayu Islam.

“Dahulu orang Melayu menjadikan UMNO tempat kebergantungan namun apa yang dilakukan UMNO menyebabkan sokongan semakin hari semakin berkurangan. Tidak mustahil lagi ke depan lagi teruk,” katanya.

PRN membabitkan enam negeri Sabtu lalu menyaksikan PN khususnya Pas berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan prestasi jauh lebih baik.

Di Kedah, PN berjaya menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN, di Kelantan pula, gabungan berkenaan memenangi 43 daripada 45 kerusi DUN dan seterusnya Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN tanpa meninggalkan satu kerusi sekali pun kepada BN-PH.

N juga menunjukkan prestasi cemerlang di Selangor apabila menang 22 kerusi daripada 56 serta berjaya menembusi Pulau Pinang apabila menang 11 daripada keseluruhan 40 kerusi.

Sementara itu, Hashim mengucapkan tahniah kepada Pas dan PN secara keseluruhan berjaya menunjukkan prestasi cukup cemerlang khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang turut menyapu bersih 32 kerusi DUN.

Malah katanya, prestasi Pas juga meningkat di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor dengan penambahan kerusi.



Comments
Loading...