MEF terkejut dengan kenyataan gaji progresif Rafizi


Persekutuan Majikan Malaysia berkata, dasar berkaitan gaji sepatutnya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, bukannya Kementerian Ekonomi.

(FMT) – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) terkejut dengan pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung rancangan kenaikan gaji progresif membabitkan sektor swasta dan awam.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, sebaliknya Kementerian Sumber Manusia yang mengendalikan dasar berkaitan gaji.

“Menteri ekonomi sebaliknya patut berkongsi rancangan meningkatkan ekonomi dengan perniagaan dan rakyat, sekali gus meningkatkan taraf hidup.

“Setakat ini, MEF belum melihat sebarang rancangan konkrit sedemikian daripada menteri untuk meningkatkan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lalu, Rafizi dilaporkan berharap sektor swasta turut komited membantu kerajaan merealisasikan Dasar Gaji Progresif bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan memerlukan dasar menyeluruh membabitkan sektor swasta dan awam kerana menjadi keutamaan untuk merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji serta kenaikan kos sara hidup.

Selasa lalu, Rafizi membayangkan rancangan Putrajaya untuk gaji progresif mungkin memerlukan kenaikan gaji tahunan secara wajib.

Tetapi, Syed Hussain berkata, Rafizi perlu mengambil kira dalam mana-mana ekonomi, kuasa pasaran menentukan harga buruh dan menteri tidak sepatutnya mewajibkan kenaikan gaji.

“Industri di seluruh dunia sentiasa bergantung kepada data pasaran untuk menentukan pampasan dan manfaat. Kerajaan tidak harus menentukan apa patut dilakukan dari segi ganjaran buat pekerja.”

Beliau berkata, kerajaan terlebih dahulu perlu meletakkan asas sesuai dan mencukupi untuk model gaji progresif dilaksanakan, melalui perbincangan dengan pihak berkaitan serta menubuhkan jawatankuasa dianggotai kesatuan sekerja, majikan, kementerian dan agensi kerajaan.

Katanya, model gaji progresif bukan saja berkaitan kenaikan gaji, tetapi ia perlu memastikan peningkatan produktiviti, keuntungan, produk dan perkhidmatan lebih baik pada harga berpatutan untuk pengguna.

Jika Putrajaya terus mewajibkan kenaikan gaji tahunan, beliau berkata, ia perlu menyediakan geran atau peruntukan kepada majikan bagi memenuhi gaji ditetapkan.

“Rafizi dan kerajaan boleh tampil dengan skim bagi menambah gaji ditentukan pasaran, jika beliau begitu prihatin dengan kenaikan gaji pekerja.”

 



Comments
Loading...