Lantang kritik kerajaan, satu lagi portal disekat


Lantang kritik kerajaan, satu lagi portal disekat

MalaysiaNow

Seorang pengulas politik terkenal Malaysia membidas menteri yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan internet di negara ini selepas laman sesawangnya disekat akses secara senyap, sama seperti sekatan 48 jam yang dikenakan terhadap portal berita MalaysiaNow baru-baru ini yang mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan laman Malaysia Today selama lebih sedekad menyifatkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai seorang yang hipokrit.

“Bila jadi pembangkang, menjerit tentang kebebasan bersuara.

“Bila jadi kerajaan, sekat Malaysia Today.”

Ini merupakan siri kritikan terbaru terhadap Fahmi, yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyerang media serta mengancam tindakan ke atas pengkritik kerajaan.

Raja Petra, yang melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2009, memberitahu MalaysiaNow beliau menyedari laman sesawangnya tidak boleh diakses oleh sebahagian besar pembaca pada pertengahan bulan lalu.

Ujian di laman sesawang Open Observatory of Network Interference (Ooni) mengesahkan bahawa Malaysia Today disekat akses kepada pengguna sekurang-kurangnya dua penyedia perkhidmatan internet (ISP) utama di Malaysia – Maxis dan Celcom.

Sejak laman tersebut disekat akses, Raja Petra memaklumkan pembacanya supaya memasang alat atau tetapan yang boleh memintas sekatan itu.

Bagaimanapun seperti apa yang berlaku ke atas MalaysiaNow minggu lalu, katanya tiada sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diberi kuasa untuk menyekat laman sesawang “tidak diingini”.

“Kami tidak dapat memastikan kesahihannya 100%, kerana sekatan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh SKMM,” katanya sambil menambah sekatan tersebut mengurangkan jumlah pembaca sebanyak 70%.

Minggu lalu, akses portal berita MalaysiaNow disekat beberapa penyedia perkhidmatan internet utama, sebelum ia ditarik balik kira-kira 48 jam kemudian berikutan kecaman daripada aktivis, wartawan dan ahli politik.

Sekatan terhadap MalaysiaNow dipercayai pertama kali dilakukan sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media dari Jabatan Penerangan.

Pada Februari 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat oleh SKMM beberapa minggu sebelum akhirnya ditutup.

Fahmi, yang menafikan terlibat dalam mengeluarkan arahan sekatan itu masih belum memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan yang menyebabkan beberapa ISP menyekat akses kepada MalaysiaNow.

READ MORE HERE

 

 



Comments
Loading...