Penghapusan subsidi boleh jejas pertumbuhan negara: Penganalisis


(Bernama) – Penghapusan subsidi boleh menjejaskan pertumbuhan jangka pendek Malaysia dan merumitkan proses penambaikan gaji ketika paras harga kekal tinggi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), Firdaos Rosli.

Ahli ekonomi itu berkata ia adalah tidak sesuai untuk melakukan rasionalisasi subsidi terutamanya ketika negara masih dalam proses pemulihan daripada era pandemik.

“Kita memerlukan subsidi buat masa ini supaya orang ramai berbelanja yang sepatutnya berlaku dalam era pasca pandemik,” katanya pada sidang media mengenai keputusan kewangan suku pertama Bank Islam, hari ini.

Firdaos berkata, Naratif Ekonomi Madani (NEM) oleh kerajaan yang akan dilancarkan pada Ogos depan, perlu memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan pertumbuhan, justeru anjakan paradigma daripada rangka kerja sedia ada diperlukan.

Beliau berkata, hal ini kerana kaedah pendapatan boleh guna semasa digunakan untuk pemberian subsidi mungkin hanya menyukarkan penggubalan dasar dan bukannya memudahkannya.

“Adalah lebih baik untuk memberi tumpuan dalam menambah baik hasil cukai serta memastikan pertumbuhan jangka pendek kekal kukuh. Seperti yang saya nyatakan walaupun tanpa kerajaan melakukan apa-apa, jumlah perbelanjaan subsidi akan turun secara semula jadi pada tahun ini kerana harga minyak global sekarang lebih rendah berbanding tahun lalu,” katanya.

Firdaos berkata, NEM harus melengkapkan penentukuran semula Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) memandangkan semakan separuh penggal akan diumumkan tidak lama lagi.

“Malaysia tidak mempunyai pakej rangsangan fiskal yang cukup tinggi untuk berkembang selepas pandemik. Justeru, bagaimana kita akan mengganti semula pengeluaran RM145 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dividen semasa COVID-19 dulu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus menyediakan naratif ekonomi yang betul untuk pertumbuhan jangka terdekat bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan mengukuhkan ringgit.

Menurutnya, ringgit dijangka ditutup pada RM4.28 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini berdasarkan trend pertumbuhan ekonomi.

 



Comments
Loading...