Paya Bunga Hotel: Terbengkalai Zaman UMNO, Hotel Bertaraf Antarabangsa Zaman PAS


Nurul Islam Mohamed Yusoff

1. Pengalaman kali pertama menjejak kaki ke Paya Bunga Hotel (PB Hotel) yang dibina dengan kos sekitar RM90 Juta di zaman UMNO, ketika itu merupakan sebuah projek tidak siap dan tidak dapat beroperasi, masih segar dalam ingatan.

2. Hotel ditengah bandaraya Kuala Terengganu ini sepatutnya beroperasi pada 2017. Namun perasmian terpaksa ditangguh dan tidak dapat menerima pelanggan kerana keadaan fizikal yang masih tidak siap sepenuhnya. Bekalan elektrik juga tidak dapat disalurkan kerana pemasangan komponen elektrik utama antara yang tidak disiapkan kontraktor.

3. Pada 2017, kakitangan seramai 40 orang telah diambil dan mula dilatih sehingga tamat kontrak mereka 6 bulan kemudian kerana hotel masih tidak beroperasi. Mudahnya, kakitangan dibayar gaji, namun tidak ada pendapatan masuk.

4. Apabila YAB Dr. Ahmad Samsuri mula berkhidmat sebagai Menteri Besar, beliau membuat keputusan untuk meneruskan projek hotel ini dan memberikan cabaran kepada pengurusan baru untuk memastikan sebelum berakhir tahun 2018, hotel mesti mula beroperasi.

5. Cabaran disahut dan pengurusan baru merencana strategi untuk memastikan hotel beroperasi segera. Kontraktor dikumpul, selapas mesyuarat demi mesyuarat, akhirnya pada Disember 2018, hotel yang dijenamakan semula sebagai hotel patuh syariah pertama di Negeri Terengganu ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu.

6. Kerugian terkumpul hotel akibat kegagalan beroperasi mengikut jadual adalah sebanyak RM1.5 Juta sehingga tahun 2018. Pada tahun pertama beroperasi iaitu 2019, kerugian selepas cukai terkumpul ini telah berjaya dikurangkan kepada RM450,000 dan pada tahun 2020, baki kerugian terkumpul di zaman UMNO telah berjaya ditutup dan hotel mula merasai keuntungan. Pada tahun 2020, keuntungan selepas cukai PB hotel adalah RM2 Juta.

7. Dari sudut pendapatan syarikat, hotel yang bermula tanpa pendapatan sepanjang 2017 dan 2018, telah berjaya mengutip pendapatan sebanyak RM6.4 Juta pada tahun 2019. Prestasi cemerlang terus dicatatkan dengan pendapatan sebanyak RM6.9 Juta pada 2020, RM11.2 Juta pada 2021 dan RM15 juta pada 2022.

8. Pencapaian sebuah hotel juga dinilai melalui Occupancy Rate (OCC). Pada tahun 2019, OCC PB Hotel adalah 61% dan pada 2022 berjaya mencapai 80%. Angka 80% OCC ini merupakan satu angka yang sangat membanggakan kerana melebihi nilai OCC Malaysia iaitu 60% sebelum pandemic dan 54% selepas pandemic.

9. Dari sudut peluang pekerjaan, PB Hotel bermula dengan 40 orang kakitangan kontrak dan yang kemudiannya terpaksa ditamatkan kerana hotel gagal beroperasi mengikut jadual. Kemudian dibawah pengurusan baru, PB Hotel mengambil seramai 86 kakitangan bagi menampung keperluan operasi. Ketika Covid-19 melanda, pengurusan hotel memberi jaminan tidak ada kakitangan yang akan diberhentikan. Alhamdulillah, seperti dijanjikan, tidak ada seorang pun kakitangan diberhentikan. Kini PB Hotel beroperasi dengan 206 kakitangan yang hampir kesemuanya merupakan anak negeri Terengganu.

10. Selain dari beroperasi di bangunan hotel, mereka juga telah diberikan kepercayaan untuk mengoperasikan Food and Beverage Institut Teknologi Petroleum (INSTEP) Batu Rakit yang membawa kepada hasil tambahan sebanyak RM6 Juta setahun.

11. PB Hotel juga telah menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Center (UCSC) yang hanya diberikan kepada 3 hotel dalam Malaysia. Selain itu, PB Hotel juga telah dianugerahkan sebagai pemenang kategori “Best City Hotel” dalam International Travel Award yang telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai pada 17 Jun 2023.

12. PB Hotel juga telah menyertai World Chef Championship 2023 dan berjaya merangkul pingat emas dalam 2 kategori iaitu Fruit Carving dan Latte Art.

13. Begitulah kisahnya perjalanan PB hotel daripada sebuah hotel terbengkalai di zaman UMNO, berjaya dipulihkan dan kini menjadi hotel bertaraf antarabangsa. Sekaligus meletakkan Negeri Terengganu dalam peta industri hospitaliti dan perhotelan dunia.

 



Comments
Loading...