Cukuplah, jangan politikkan lagi kes hakim Nazlan


(Utusan Malaysia) – BARU-BARU ini, ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penjelasan Mahkamah Persekutuan yang mendapati tiada unsur jenayah rasuah terkait dengan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Ini melibatkan perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anwar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah mendapat laporan telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan berhubung dengan kes rasuah.

SPRM telah menyiasat teliti kes tersebut dan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan. Perkara ini telah dipersetujui dengan Jabatan Peguam Negara.

Jawapan Perdana Menteri ke atas hasil siasatan SPRM yang diperakui oleh Peguam Negara adalah jelas membuktikan isu berkenaan bebas daripada campur tangan politik.

Secara ringkasnya, keseluruhan prosiding perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib yang bertindak sebagai tertuduh dan kemudian di peringkat rayuan sebagai perayu telah melalui proses seadil-adilnya berasaskan fakta serta dokumen yang dijadikan sebagai barang kes, juga menerusi keterangan saksi yang waras.

Sabitan dan hukuman di peringkat Mahkamah Tinggi tidak tergugat malah gagal dipatahkan di peringkat kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan oleh pasukan pembelaan perayu.

Ruang dan peluang secukupnya telah diberikan kepada pasukan pembela perayu, namun tiada alasan kukuh untuk mahkamah membebaskan serta melepaskan tertuduh.

Malah, isu berkaitan soal salah laku Mohd. Nazlan yang kononnya dikatakan berlaku unsur berat sebelah sehingga perayu dihukum penjara 12 tahun dan denda tidak langsung memberi kesan bagi tujuan pembebasan dari sudut perundangan.

Tidak dinafikan rakyat turut bersimpati ke atas nasib yang menimpa Najib, namun dari persepsi undang-undang, suatu keputusan yang adil serta bijaksana telah dinoktahkan di semua peringkat mahkamah di negara ini termasuk permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Untuk rekod, dinyatakan keseluruhan keputusan panel hakim dalam mencapai keputusan bersalah terhadap perayu adalah secara statistik 13 -1. Ini termasuk keputusan 4-1 di peringkat semakan kehakiman di hadapan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika ada pihak berhasrat mencadangkan agar ditubuhkan satu tribunal kehakiman bagi menyiasat tuduhan salah laku Mohd. Nazlan di bawah Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan.

Setidak-tidaknya cadangan berkenaan bagi meredakan perasaan tidak puas hati kumpulan yang setia bersama Najib walaupun kadangkala mereka layak diklasifikasikan sebagai golongan yang lebih arif pengetahuan melebihi kelayakan pendakwa raya dan hakim.

Cuma persoalannya, tidakkah cadangan penubuhan tribunal berkenaan dilihat seperti tidak menghormati mahupun bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan?

Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan harus meletakkan soal kebebasan kehakiman sebagai keutamaan sepertimana dijanjikan di samping berlapang dada atas keputusan SPRM yang turut diperakui oleh Peguam Negara.

Justeru, diharapkan titik noktah yang telah dimeterai ke atas isu sedemikian tidak dibangkitkan semula atas dasar selera politik semata-mata serta tiada elemen pusingan U dalam soal pembebasan Najib.

 



Comments
Loading...