Rakaman audio 1MDB: Macam suara Najib, kata Irwan


(Malaysiakini) – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa salah satu suara dalam empat rakaman audio yang dikaitkan dengan urusan 1MDB ‘kedengaran seperti Najib” Razak.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib berhubung penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-42 itu memberi keterangan berhubung salah satu suara dalam keempat-empat rakaman audio berkenaan, yang dimainkan ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib.

“Suaranya macam Najib,” jawab Irwan apabila ditanya oleh Akram.

Dua daripada rakaman audio itu didakwa merupakan perbualan antara Najib dan seorang pemimpin Timur Tengah.

Irwan juga mengenal pasti salah seorang daripada pemilik suara itu ialah Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Najib. Amhari juga merupakan saksi pendakwaan.

Terdahulu, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima empat rakaman audio itu sebagai bukti.

Empat rakaman audio itu adalah sebahagian daripada beberapa rakaman yang didedahkan oleh ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada Januari 2020. Ia dikatakan melibatkan Najib dan individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pihak pendakwaan bergantung kepada empat rakaman audio itu untuk mencabar dakwaan Najib bahawa dia menerima derma daripada Arab.

Sementara itu semasa pemeriksaan balas oleh ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Irwan berkata dia tidak pasti sama ada suara dalam rakaman audio itu benar-benar milik Najib kerana dia tiada ketika peristiwa itu berlaku.

Shafee: Selepas mendengar rakaman itu, adakah anda boleh mengatakan ini deepfakes?

Irwan: Saya tidak boleh katakan kerana saya bukan pakar.

Deepfakes ialah media sintetik yang dimanipulasi secara digital untuk menyerupai seseorang.

Perbicaraan berkaitan 1MDB akan disambung semula pada 7 Julai.

Najib, yang pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada dana kekayaan negara Malaysia.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku dalam 1MDB didalangi ahli perniagaan Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan beberapa individu lain dengan restu Najib.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa Najib tidak tahu jenayah yang dilakukan dalam 1MDB, dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low serta ahli pengurusan 1MDB yang lain.

Pengerusi penasihat BN itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu menolak rayuannya terhadap sabitan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

SRC pada mulanya merupakan anak syarikat 1MDB, sebelum menjadi milik penuh MOF Inc.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC.

 



Comments
Loading...