Siasat segera Dr M berkait dakwaan kontrak RM214.2 juta, gesa Puad


Anwar Ibrahim mendedahkan Opcom Sdn Bhd dikaitkan dengan anak Dr Mahathir Mohamad menerima kontrak gantian optik RM214.2 juta pada 2003.

(FMT) – Seorang pemimpin Umno menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Dr Mahathir Mohamad selepas Anwar Ibrahim mendedahkan Opcom Sdn Bhd yang dikaitkan dengan anak bekas perdana menteri itu didakwa menerima kontrak gantian optik bernilai RM214.2 juta pada 2003.

Mahathir adalah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, manakala anak ketiganya, Mukhriz adalah pengarah Opcom.

“Tun M mesti disiasat dan didakwa segera. SPRM memang biasa buka fail lama. Kalau PMX (Anwar) berani, SPRM mesti lebih berani.

“Pernyataan pembelaan oleh perdana menteri di Mahkamah Tinggi Shah Alam amat serius,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi di Facebook.

Semalam, Anwar dalam pembelaan terhadap saman difailkan Mahathir berkata, Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom.

Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikannya kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Anwar berkata, MKD pada masa itu berada bawah kawalan dan arahan Mahathir selaku perdana menteri dan menteri kewangan.

Tuntutan saman difailkan Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu, dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Mahathir mengemukakan saman fitnah itu dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme pada Mac lalu.

Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

 



Comments
Loading...